Thursday, January 17, 2008

Rumahku Surga ku



Keluarga adalah asas kepada sebuah masyarakat. Masyarakat cemerlang dibina daripada keutuhan ikatan kekeluargaan yang cemerlang. Jikalau pincang institusi kekeluargaan ini maka lemahlah sebuah binaan masyarakatnya. Binaan ini mestilah seimbang tiada istilah untuk senget sebelah demi menjamin masa depan yang gemilang. Wah, wah.. cantik dan dalam benar maksud ungkapan barisan susunan ayat-ayat ini. Tapi adakah ia secantik dan seindah realiti yang sedang kita lalui sekarang.

Anak adalah elemen yang paling penting dalam sesebuah keluarga. Dari proses kelahiran sehingga mereka menjejaki alam dewasa, tanggungjawab ibu bapa masih terasa. Maknanya bukanlah selepas anak-anak sudah 21 tahun mereka boleh dapat kunci kebebasan dan tidak terikat lansung dengan ibu bapa mereka. Sudah jelas lagi bersuluh, mendidik anak-anak memerlukan komitmen yang tinggi. Biarpun sesusah mana kehidupan yang dilalui mendidik anak-anak menjadi insan yang berguna adalah satu matlamat yang perlu dicapai.

Mendidik adalah satu proses pembelajaran. Untuk mendidik kita perlukan ilmu dan pengalaman. Ilmu mendidik anak boleh diperolehi melalui pemerhatian, pengalaman dan juga pembacaan. Terdapat banyak buku ilmiah yang berkisarkan tentang ilmu keibubapaan diluar sana. Kat sini saya nak kongsi bersama tip-tip ilmu-ilmu yang patut dimilik oleh ibu bapa. Moga-moga ianya dapat memberi manfaat kepada semua untuk digunapakai.

Jom teruskan pembacaan anda. Ok kita cerita sikit tentang ilmu-ilmu tersebut:

1. Ilmu agama. Dalami lmu tersebut supaya kita dapat mendidik mereka menjiwai ilmu ini. Moga-moga ilmu ini menjadi pegangan asas dalam kehidupan mereka. Contohnya kita perlu ajari mereka bersolat, azan, puasa, bersedekah, membaca al quran dan banyak lagi ilmu merangkumi ilmu fiqah, tauhid, sirah islam, tasawuf dan lain-lain.
2. Ilmu ekonomi. Dalam hal ini pula, jelas kita perlu mendidik mereka hal-hal kewangan agar mereka faham dengan situasi kewangan keluarga seperti perbelajaan rumah dan pengagihan wang untuk perbelajaan harian mereka. Ini bukan bermakna memberi tekanan dan bebanan kepada mereka tetapi memberi gambaran bahawa ada perkara yang kita lakukan atau inginkan terpaksa menggunakan wang ringgit. Contohnya menyediakan makanan harian, dimana bapa mesti membeli barang mentah untuk ibu memasak makan. Begitu juga menghantar mereka ke sekolah. Oleh itu dari sini mereka akan faham hal-hal pembahagian wang dan memahami serta menghargai penat peluh ibu bapa mencari rezeki untuk mendapatkan wang. Secara tidak lansung mereka akan belajar berdikari dan tidak membazir.
3. Ilmu komunikasi. Komunikasi amat penting kerana ia juga asas dalam sesuatu hubungan dalam masyarakat yang lebih besar. Sebelum anak-anak meniru cara berkomunikasi yang salah dari luar patutlah kita menyemai mereka dengan komunikasi yang betul dari rumah. Dalam mendidik ilmu berkomunikasi ia bukan hanya menyentuh cara bercakap tetapi merangkumi ekpresi muka, alunan suara dan susunan ayat. Dicantikkan lagi dengan adab budi bicara yang sopan dan menghormati serta menghargai orang lain. Rasanya kalaulah ibu bapa melihat anak-anak yang mempunyai budi bahasa yang tinggi dan tutur kata yang sopan pasti menjadi kebanggaan kepada keluarga. Betul tak?
4. ilmu kesihatan. Jangan anggap ia bukan tanggungjawab ibu bapa sebaliknya ia adalah keperluan yang amat penting bagi menjamin kesihatan keluarga yang baik serta terhindar dari gejala penyakit Contohnya kalau kita tidak tahu tanda-tanda demam panas, apa akan jadi pada anak kecil kita. Contoh yang lain jika salah seorang daripada kita mempunyai jangkitan pembawa hepatitis B, apakah harus kita mendiamkan diri tanpa perlu membawa semua keluarga mendapatkan imunisasi sebagai langkah pencegahan. Selain itu hal-hal kebersihan makanan dan minuman, ibu bapa perlu tahu penyakit berjangkit yang berkaitan dengan pencemaran makanan dan minuman seperti taun dan kolera. Begitu juga persekitaran rumah yang perlu dibersihkan seiap hari agar terhindar dari jangkitan demam denggi. Semua in adalah tanggungjawab ibu bapa untuk memaklumkan maklumat kesihatan ini kepada mereka serta bertindak sewajarnya bersama mereka. Ingat ” pencegahan lebih penting daripada pengubatan”.

Ada banyak lagi ilmu-ilmu yang boleh dijadikan panduan kepada ibu bapa. Ini hanyalah asas ilmu-ilmu yang perlu ada dalam pendidikan anak-anak di rumah. semoga semua di atas akan menjadi panduan untuk ibu bapa di luar sana. Wasalam.

Sumber: panduan menjadi ibu bapa cemerlang (saat sulaiman)

No comments: