Tuesday, December 30, 2008

Salah Satu Unsur Menjadi Orang yang Berjaya

Tepat jam 5.45 pagi saya bingkas bangun dan cepat-cepat mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat subuh. Usai solat jam di dinding menunjukkan pukul 6 pagi, saya harus segera beredar dari tempat kerja untuk pulang ke rumah. Itulah rutin saya selama 1 bulan trial buat kerja part-time sebelah malam. Agak memenatkan sebab tepat 9 pagi saya wajib berada di tempat kerja hakiki pula. Itulah kelazimannya. Sejauh mana kederat ini mampu untuk melakukan tanggungjawab itu, tidak ada kepastian kerana urat-urat di badan sudah mengisyaratkan keperitan dan keletihan. Ok lupakan sebentar kepenatan itu. Supaya batin terus merelakan zahir untuk berfikir dan bekerja.

Dalam keheningan pagi, aku terus meluncurkan kereta tanpa menghiraukan embun-embun yang menitis ke bumi Terasa sungguh sejuk suasana di luar begiu mencengkap daging-daging keras dan pejal insan- insan yang masih mencari rezeki dari malam hari dan tak ketinggalan juga insan-insan yang sememangnya mula menjunjung kerja mereka seawal dinihari. Keperitan memang terasa tapi diingati semula janji dan tanggungjawab yang perlu dipikul, langkah terus berlalu meninggalkan segala keluhan yang tidak bernilai.

Melalui corong radio, siaran Sinar FM 96.0 Hzt, terdengar suara Kril dan SY berceloteh. Mereka juga seperti insan-insan yang kukatakan tadi. Demi tugasan, seawal pagi mereka sudah berada di konti untuk melaksanakan tangungjawab sebagai seorang DJ Radio. Laluan radio diserahkan pula kepada Ustaz Dato' Fadilah Kamsah untuk menyampaikan santapan rohani. Untuk menjadi orang yang berjaya kita perlu bekerja seperti orang yang berjaya. Bukan satu aspek perbuatan tetapi merangkumi semua label pekerjaan dalam kehidupan. Contohnya dari aspek tidur; bangun awal pagi, solat dan baca Al-quran, tidak naik kenderaan selagi tidak membaca doa, keluar rumah kaki kanan, salam dan peluk cium suami/isteri dan anak-anak, pergi kerja dengan niat yang baik seawal pagi, senyum dan hormat majikan atau pekerja. Maksudnya di sini melakukan sesuatu yang postive dan cemerlang untuk ke arah kehidupan yang cemerlang. Bila kita berjaya melaksanakan beberapa perkara yang disebutkan di atas secara konsiten, kita boleh menilai diri sendiri bahawa diri kita di kalangan orang yang berjaya atau tidak. Ia bersifat peribadi kerana diri kita yang menilai bukan orang lain. Wang ringgit dan kemewahan bukan lambang kejayaan. Tetapi dengan adanya keperibadian yang teratur, cemerlang dan postif akan melahirkan insan yang selalu mencari ilmu untuk meningkatkan sahsiah dan juga ekonomi keluarga. Kesimpulannya akan lahirlah insan "BERJAYA".