Wednesday, November 18, 2009

Anak, perlukah kasih sayang diberitahu?

Meluncur kereta dihening malam memaksa aku menekan minyak kereta selaju 100km/jam hanya untuk cepat sampai ke rumah. Sesampai di rumah tepat jam 12 malam, bapaknya dan anak2 semua bergelimpangan dalam kamar tidur mengusung mimpi yang indah-indah. Terdetik dalam hati " ah..kesiannya anak-anak tak sempat nak berbual hari ni". Lantas naluri keibuan aku bertindak dengan mencapai beberapa helaian selimut lalu menutup tubuh kesemua insan-insan yang sedang merengkok kesejukan dalam kedinginan malam bermula dari abang long, bapaknya, lokman dan kakak Mai....dan setiap pipi dicium satu persatu.

Keesokan pagi menjelma, rutin biasa diteruskan dengan mengejar masa secepat yang mungkin menghantar 2 anak-anakku ke sekolah Tadika.

Sambil-sambil memandu, aku mula bicara
" Semalam umi balik semua dah tido, umi selimut seeeemua orang abg, kakak, adik dan baba tau. lepas tu umi cium pipi semua orang jugak, abang dan kakak rasa tak umi cium pipi semalam?"

Dari tempat duduk belakang, suara Mai terdengar dahulu.
" kakak rasa umi cium" spontan aje bunyinya.
"Abang, abang rasa tak?". tanyaku sekali lagi. Biasa la anak lelaki sensitiviti kurang sikit.
"Rasa umi tapi sikit je abang rasa" selamba je bunyinya.

Dalam hatiku,
"betul ke diaorang ni rasa aku cium, rasanya semalam tido macam tak sedar lansung...hihi ni reaksi spontan ke atau reaksi untuk yang jaga hati umi. Ah..tak pelah yang penting aku dah beritahu kat anak-anak yang aku cium pipi diaorang malam tadi. Sekeurang-kurangnya diaorang tahu yang aku saaaayang sangat kat mereka."

Apa yang bestnya bila kita beritahu tindakan kasih sayang pada anak-anak?

Tindakan memberi kasih sayang adalah suatu tindakan yang positive. jadi apa bila ibu bapa melakukan dan memberitahu tindakan postive, anak-anak akan disemai dengan jiwa-jiwa positve dan luhur. Memang peringkat ini kita perlukan maklum balas dari mereka kerana kita mahu tindakan yang sama akan lahir tanpa dipaksa oleh sesiapa dari diri mereka untuk diperlakukan ke atas adik-beradik, kawan-kawan di sekolah dan orang-orang dewasa diluar nanti.

Contoh istitusi kekeluargaan yang terbaik adalah dari rumahtangga Rasullullah S.A.W.Dari Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban, Rasulullah bersabda yang bermaksud, " Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah orang yang paling baik pergaulannya dengan ahli keluarga dan aku adalah yang terbaik dari kalangan kamu dalam pergaulan dengan ahli keluargaku."

~wasalam~

Friday, November 13, 2009

Lagi tentang kafein

Penggunaan kafein
-Di US purata pengambilan kafein bagi masyarakat di sana adalah 280mg bersamaan 17 oz kopi atau 84 oz minuman ringan.
Kesan kafein pd tubuh badan
Kajian menunjukkan sebanyak 30mg atau kurang kandungan kafein, boleh meransang perubahan mood seseorang.
Manakala kandungan kafein sebanyak 100mg boleh menyebabkan kesan dependen dan withdrawal.

Kandungan kafein dlm mkn atau minumanSebanyak 70% minuman ringan mengandungi kafein.
Di US sumber minuman berkafein yang diminum oleh kebanyakan orang dewasa adalah kopi, manakala kebanyakan di kalangan kanak-kanak pula adalah minuman ringan.

Monday, October 26, 2009

Mengenal Apa Itu 'Kafein"

Nama saintifik kafein adalah 1,3,7-trimethyxanthine. Perkataan kafein berasal dari Jerman iaitu kaffee dan Belanda iaitu kafe. Kafein berfungsi untuk meransang stamina, sistem sereberal (otak), asiditik perut dan aktiviti kolon. Kafein yang diminum memberi kesan kepada tubuh badan dalam jangkamasa 30-45 minit dan kesannya berpanjangan selama 3 jam. Kafein tidak berkumpul dalam badan sebaliknya ia akan dikumuhkan melalui air kencing.

Monday, October 12, 2009

Saat menggalas jawatan sebagai 'ibu'

Salam semua...

Pengalaman yang diperolehi sepanjang menjalani kehidupan sebagai seorang ibu mengajar aku erti kesabaran, kecekalan dan kesungguhan. Begitulah realiti kehidupan yang ditempohi sepanjang hayat ini.

Wahai dunia, jika engkau tahu saat terangkatnya akad ke atas diriku sahlah aku sebagai isteri. Dari saat itu aku berjanji menjadi suri yang taat dan setia buat suamiku. Aku tak mengalah dengan dugaan yang melingkari kehidupan. Aku yakin dengan kesungguhan hati melawan segala onak dan duri yang menduga kehidupan di alam ini.

Wahai dunia, ketahuilah engkau saat lahirnya anak-anak ku dimuka bumi ini. Hatiku tersentuh melihat jari-jemarinya yang lembut menyentuh pipiku. Kini jemari itu sedang membesar. Aku akur dengan amanah ini. Aku bersungguh menggalasnya demi masa depan mereka yang terjamin. Itu janjiku buat mereka.

Friday, September 18, 2009

Kenangan Sehari Sebelum Aidilfitri...

Jam tepat 7.35am, September 19 2009, pagi yang disambut dengan deraian airmata hujan dari langit ciptaan Tuhan. Aku merenung jam di tangan. Renungan yang agak lama memerhati jarum saat yg tidak berhenti-henti berdetik kerana bateri masih berfungsi. Begitu jugalah manusia, andainya ajal sudah tiba, maka berhentilah dia bernafas. Kembali memerhati kereta hitamku dari celah-celah deraian hujan yang menitis. Tanpa berkira-kira lagi langkahku pantas seperti kilat melibas air hujan walaupun basah hampir melencunkan baju yang menutup tubuhku.

Ramadhan dihujung hari. Bersamaan 29 Ramadhan. Detik yang sering aku tunggu sewaktu kecil dahulu. Membayangkan suasana sewaktu itu memang ternyata indah dan teruja menanti Aidilfitri esoknya. Pakaian serba cantik di pagi raya, bersalaman dengan emak sambil tersenyum melihat emak menangis ketika bersalaman dan berpeluk denganku. Kenapa aku tersenyum ketika itu tidak pula sebaliknya? Ah itulah aku saat adanya dia, aku sering bergurau walau dipagi raya aku masih sempat tersenyum sinis melihat emak menangis ketika bersalaman. Dan emak pula begitu memahami apa erti kemaafan dan kasih sayang, tidak seperti aku yang masih mentah dan keanak-anakkan.

Tidak pula seperti sehari sebelum Aidilfitri yang lalu, saat ini tiada sambal lodeh, sambal udang dan ikan bilis, ketupat, rendang daging 'hijau' yang dicop buatan dua tangan emak. Halal tidak perlu pengesahan Jakim. Walaupun hidangan seperti itu masih ada, tapi tidak sama seperti rencah dan rasa dari hasil air tangan emak. Tinggi mana pun aku belajar, pagi-pagi raya lidah aku lebih serasi dengan hidangan dari emak. Sudah bertahun-tahun kehidupan seperti itu. Kelalian rasa sudah sebati dari kecilnya tapak kaki hingga berkerut kulitnya kini aku masih inginkan yang asli dari emak. Begitulah indahnya kasih sayang yang telah bersemi dalam hati ini. Kasih sayang yang Tuhan limpahkan buat seorang ibu untuk anaknya, bukan hanya dititip dibibir tapi telus ke hati.

Menyambut bakal Aidilfitri esok hari, seperti tiada apa yang berubah. Tidak seperti dulu, penat lelah membuat persediaan raya uh! memang terasa. Kerusi, meja dan segala perabot disusun atur semula. Berseri-seri ruang tamu dengan meja dihiasi bunga-bunga plastik dan alas meja bercorak-corak dihampar sebagai hiasan dalaman yang paling mewah ketika itu. Pereka hiasan dalaman emak adalah kakak. Aku pula adalah ajk tugas-tugas khas. Angkat sana dan angkat sini. Berpeluh-peluh badan nasib baik hanya tinggal satu hari sahaja untuk menahan lapar. Bukan itu saja perlu dibuat karpet perlu dibentang, cadar dan sarung bantal ditukar dan paling aku benci sekali pasang langsir....Bab pasang langsir sering mencetuskan perbalahan hangat antara aku dengan emak. Sebab kenapa? ada macam-macam sebab dengan setiap tahun berlainan sebabnya. Hihihi...ngada-ngada aku ni.

Berlegar pula di dapur. Aduh! penuh dengan periuk, kuali dan pinggan magkuk yang perlu dicuci. Ketupat, ah! dari awal sudah dimasak dalam periuk besar. "Jangan lupa tengok air, tambah bila kering" pesan emak. Api pula perlu dijaga, hilang nyalanya kayu-kayu di belakang rumah diangkut dan disorong bawah periuk. Api marak, tarik sedikit kayu keluar. Begitulah persediaan masak-memasak untuk hidangan Aidilfitri esok hari ketika itu. Menjelang Asar, 70% sudah siap. Tiba waktu maghrib seratus peratus siap sepenuhnya. Tugas emak sudah selesai, tugasan aku masih ada lagi, usai Isya' bersiap sedia pula menghidang hidangan ringan untuk orang kampung yang datang bertakbir. Bukan saja hidangan disediakan, duit raya sekali!. Anggaran ramainya tetamu 20-30 orang, meriah memang meriah (senyum...). Ingatkan dah siap rupanya belum siap lagi. "Jangan lupa baju dan tundung emak, gosokkan.." pesanan dari emak lagi...Emm bukan saja tudung, baju, telekong. Jubah dan lain-lain juga perlu aku gosok.

Itulah pahit, manis, suka, duka dan hilai tawa sebagai memori penat lelah persediaan raya antara aku dan emak sehari sebelum Aidilfitri. Kini tidak lagi....tiada pesanan-pesanan dan leteran emak untuk itu dan ini. Sedakar kenangan...moga rohmu dicucuri Rahmatnya.

Wednesday, July 15, 2009

Pengurusan Kewangan Secara Islam

Salam sejahtera.
Best!, itulah ungkapan yg terkeluar dr mulut saya setelah membaca buku tulisan Pn Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir yang bertajuk "Ke mana wang anda?". Memang santai bahasa yang diguna dan membimbing. Banyak perkara tentang kewangan yang disentuh seperti perancangan kewangan mengikut umur, pengurusan hutang, penyediaan perlindungan takaful dan peluang menambah pendapatan melalui perniagaan. Perkara yang paling utama bagi saya yang diperolehi dari pembacaan buku ini ialah pentingnya perlindungan takaful untuk keluarga dan perbezaan antara takaful dengan perlindunan insurans konvensianal yang ada di pasaran sekarang ini. Ia benar-benar mengajak saya untuk merubah persepsi saya sebelum ini terhadap takaful dan kepentingan perlindungan untuk keluarga walaupun saya sudah mempunyai Prubsn takaful dan etiqa takaful. Saya akui, saya lansung tidak ambil peduli dengan polisi yang diberikan. Hanya tahu bila terpaksa dimasukkan ke hospital disebabkan penyakit tertentu barulah bertanya samada boleh claim atau tidak. Selebihnya diserah bulat-bulat pada ejen insurans saya.

Beberapa fakta penting yang saya perolehi/ pinjam dari buku " Ke mana wang anda?"

1. Takaful menggunakan konsep tolong-menolong.
Maknanya kita semua mencarum dalam satu tabung tabaruq. Tabaruq adala tabung yang digunaka untuk membantu pencarum yang mengalami musibah.

2. Bagaimana jumlah perlindungan takaful dikira.
Contoh gaji bulanan suami = RM3000
saraan setahun= RM 3ooo x 12 bulan = RM36000
hak isteri (1/8 mengikut sistem faraid) jadi jumlah keseluruhan 8 x RM36000 = RM 300000
Jadi jumlah perlindungan yang perlu diambil ialah RM300000.

3. Takaful dan pelaburan adalah sama penting.
Takaful adalah perlindungan kewangan sekiranya berlaku musibah. Manakala pelaburan adalah "wealth accumulation" atau penambahan harta.

4. Menulis wasiat. ( yang ini saya belum buat lagi...tapi ini pencetus idea untuk saya memikirkannya)
pinjam dari tulisan beliau, rupanya menulis wasiat merupakan tuntutan agama. Rasulullah SAW bersabda: " Seorang muslim yang mempunyai sesuatu yang boleh diwasiatkan tidak sepatutnya tidur selama dua malam berturut-turut melainkan dia menulis wasiat di sisinya." ( Riwayat Bukhari dan Muslim daripada Abdullah bin Umar)

5. Membuat perlindungan dan pelaburan daripada wang pinjaman pengajian tinggi.
Adus! saya tertegun membaca fakta /idea ini. Sebab kalau cetusan idea ini saya perolehi semasa saya belajar dulu pasti saya sudah hampir lengkap perlindungan kewangan dan simpanan dari hasil pelaburan. Saya dulu masa belajar dapat biasiswa. Duit lebih biasiswa setiap bulan saya tak pandai boros. Jadi saya beri pada arwah emak untuk belanja dan tak tahu duit tu digunakan macammana. Masa tu tiada inisiatif untuk menabung pun.

Contoh dalam bentuk kiraan yang saya ambil dari buku beliau saya tunjukkan dibawah:

Bagi perlindungan takaful; langgan produk takaful 'saving plan' yang bernilai RM934 setahun iaitu RM62.69 sebulan selama 25 tahun bagi perlindungan RM100,000. Sampai tempoh matang boleh dapat RM33,661.89. Masa tu kalau adik-adik yang baru masuk pengajian tinggi purata umur 18 tahun. jadi umur 45 tahun dah dapat RM33,661.89. itu kalau panjang umur. Kalau berlaku kematian dapat RM100,000 untuk keluarga. Dapat juga balas jasa mereka.

Bagi pelaburan pula; labur paling minima RM100 sebulan selama 3 tahun di saham amanah yang mempunyai pulangan 10% setahun. Jadi tabungan terkumpul anda akan bernilai RM4184.02. Banyak tu... Selepas 3 tahun sudah tentu belum adik-adik atau anak-anak kita baru nak masuk era mencari pekerjaan. Berbaloi memang berbaloi!

Terdapat banyak lagi idea-idea yang dicadangkan termasuk ilmu kewangan untuk anak-anak. Jadi saya sangat mengesyorkan untuk sesiapa yang masih tercari-cari pengetahuan tentang pengurusan kewangan secara islam bolehlah membaca buku tulisan Puan Hajah Rohani tersebut.

Monday, July 13, 2009

Masih Bersemangat

Syukur kehadrat Ilahi dengan izin Allah saya masih mampu meneruskan kerja-kerja hakiki dan urusan peribadi. Lama saya mendiam diri kerana masih terawang-awang dengan dunia sendiri. Masih lagi mencari motivasi diri. Biasalah manusia ada pasang surutnya. Tapi bagi saya, jalan keluar perlu dicari. Usaha perlu diikhtiarkan supaya hidup tak terbelengu dengan sikap malas, letih, lesu dan 1000 macam alasan lagi yang sudah pasti tiada penghujungnya. Saya melalui saat-saat yang membosankan kalau tiada perkara-perkara yang berfaedah dan manfaat dilaksanakan. Sebab itu saya perlu menulis bagi meleraikan kekusutan yang ada dlm diri ini. Sebenarnya saya tiada masalah hidup yang besar. Cuma impian hidup yang terlalu tinggi, menyebabkan saya cepat berputus asa bila tidak tercapai. Jadi perlu cari sedikit suntikan dari blog-blog motivasi yang lain. Saya suka membaca blog imotivasi, shamsudin kadir, ustaz zaharuddin dan saifulislam. Blog-blog seperti ini memberi saya inspirasi dan semangat. Ok semoga sentiasa bersemangat!!!!..

Monday, June 29, 2009

Anak satu anugerah




zuriat ternilai yang tiada harganya di pasaran bagi orang yang berfikir. Terutama bagi pasangan yang begitu kepinginkan zuriat setelah bertahun-tahun lamanya menunggu. Anak menjadi penyambung silaturrahim antara ibu dan bapa. Malangnya anak kini hadir tanpa kerelaan pasangan itu lebih-lebih lagi pasangan muda yang tiada ikatan pernikahan yang suci. Anak yang hadir di dunia ini atas nama nafsu semata-mata kini semakin meningkat bilangannya. Kadang-kala anak belum sempat melihat dunia ini sudah ditutup kembali matanya buat selama-lamanya...
KUANTAN - Tangisan bayi dari dalam tandas di tingkat tiga Wisma Bola Sepak Pahang awal pagi telah mengejutkan wanita yang menyewa bilik di bangunan itu di Jalan Gambut di sini semalam.
Selepas tidak kedengaran lagi suara bayi itu, pintu tandas yang berkunci dapat dibuka kira-kira sejam selepas itu.
Mereka tergamam melihat mayat seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan berada di dalam tong cat berisi air.
Seorang wanita pula dilihat duduk di dalam tandas dalam keadaan pucat dan tidak bermaya sambil menangis dengan sebahagian tubuhnya penuh darah.
Darah juga ditemui di serata lantai tandas berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Pemangku Supritendan Zulkifli Taha berkata, dalam kejadian pada pukul 6 pagi, penyewa di bangunan itu cuba membuka tandas yang dikunci dari dalam sebaik terdengar tangisan bayi.
"Bagaimanapun tandas itu hanya dapat dibuka sejam kemudian iaitu selepas tiada lagi bunyi tangisan bayi," kata beliau di sini semalam.

Friday, May 15, 2009

Sebelum Berhenti Berirama....

Sekali kau berentak pasti berirama
Menjalarkan muatanmu ke daerah yang gersang
Membawa molekul oksigen dan nutrien tanpa henti
Apakah engkau pasti perjalananmu lancar tiada halangan?
Tanpa kenal erti rehat kau terus berdenyut
Dengan harapan melebihi usia

Akur dan taatmu dirembat dengan rakus lahapnya
Tiada batasan pada santapan
Lidah hanya enak pada yang sedap
Buih-buih sang lemak terapung-apung
Terhenjut-henjut dan sipu-sipu mencari celahan laluan
Laluan kanan kini semak dihuni para setinggan arterosklerosis

Perit dan pedih menyelinap dalam daging tisumu
Sebagai tanda bermulanya rusuhan
Namun kau terus menguncup dan mengembang mencari hala yang tenang
Kiri?, laluan itu sudah mati akibat kepol-kepol asap yang menjadi jerebu perosak
Menyesak lesu dan menyumbat toksik di setiap lapisan dagingmu
Apakah engkau pasti perjalananmu masih tidak tercabar?

Terasa cukup haus tisu-tisu dagingmu
Kini jaminan usiamu hanya dihujung tanduk
Mengelupur jatuh peluh simpatetik
Berasak-asak menyimbah keluar
Janji ia untuk menyejukkan bertukar panas membahang
Menggetarkan talian yang sungguh pantas tidak seirama

Jaringan saliran kecil dan besar secepat kilat mengecut
Lantas setompok tisu daging bergelapan terputus cahaya
Kegelapan merebak keseluruh dataran maka terputuslah denyutanmu
Terdiam sejenak .......
Terhenti raungan.......
Kini rentak iramamu tidak berlagu lagi......

P/s: Puisi Myocardial Infarction = serangan jantung akut

Tuesday, April 14, 2009

Bisikan Syukur

Memejam sepasang mata
bintik-bintik terang, merah dan kuning
makna kehidupan di alam nyata
bertingkat, selirat, berpusing-pusing

Tercacak memijak denai
mendongak menebar pandangan
satu menjadi dua matlamat dicanai
bolehkah dengan hanya membenam impian

Allah hu Ahad, Allah hu Rabbi
salju Rahman dan Rahim dambaanku
di celah kesungguhan hati
redha menjadi sumbu pelita jayaku

Keringat basah memercikkan nilai
jihat kejayaanku masih belum uzur
nikmat gugur di lantai mahligai
suara bergema memantul rasa syukur

Allah hu Ahad, Allah hu Rabbi
salju Rahman dan Rahim dambaanku
di tengah lipatan racau emosi
Engkau mencurah janjiMu untukku

Friday, March 20, 2009

Manusia Cenderung Untuk Memiliki dan Bersaing

Kesejahteraan dari Mu dan milik Mu. Semoga kita diberkati Ilahi.

Dikesempatan yang ada, diberi masa dan ilmu, semoga ianya memberi manfaat jika kita pandai mengambil manfaat darinya.

Dari segi psikologi, manusia mempunyai daya pemilikan yang tinggi. Bukan saja terhadap hal-hal peribadi seperti ingin disayangi, dibelai, juga hal-hal lain seperti perkahwinan, anak, kekayaan, ilmu, pekerjaan, kewangan dan kemasyhuran.

Pemilikan ini adalah salah satu motivasi jasmani dan rohani (an-nafsiyyah wa ar-ruhiyyah). Manusia melalui proses keinginan ini untuk mencapai keselesaan dalam hidup. Namun begitu kecenderungan ini kadang-kadang melampaui batas menyebabkan manusia hilang pedoman sehingga berlakunya kes-kes seperti membunuh kerana cemburu, menzalimi hak sesama manusia, merebut pangkat dengan wang. Keinginan yang mendalam yang cenderung kepada kerosakkan atau bencana ini dipanggil delusion disorder

Dalam proses untuk memiliki, manusia sering bersaing. Persaingan yang wajar dan positif tidak menjadi satu hal. Ia digalakkan dan jelas dari Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang berbakti itu benar-benar berada dalam kenikmatan yang besar (syurga), mereka (duduk) di atas dipan-dipan sambil memandang. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup mereka yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni yang dilak(tempatnya), laknya adalah kasturi dan untuk yang demikian itu hendaknya orang-orang berlumba-lumba"

Mengikut psikologi yang dibentangkan oleh Rasulullah SAW, persaingan duniawi yang dianjurkan adalah yang mendekatkan diri demi untk mendapat keredhaan Allah SWT. Seperti yang diterangkan melalui hadithnya iaitu:

Dari Yazid bin al-Akhnas RA mengatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda iaitu:
" janganlah di antara kalian berlumba-lumba kecuali dalam dua hal. Pertama, orang yang diberikan al-Quran oleh Allah SWT, kemudian orang itu menjalankan dan mengikuti isi kandungan al-Quran siang dan malam. lalu orang itu mengatakan bahawa jika Allah SWT memberiku seperti apa yang telah diberikan kepada si fulan itu, maka saya akan menjalankan seperti apa yang telah diijalankannya. Kedua, orang yang diberikan oleh Allah SWT harta kekayaaannya. Orang itu mengatakan bahawa jika Allah SWT memberiku seperti apa yang telah diberikan kepada si fulan itu, maka saya akan bersedekah dengan harta itu"
Dari kitab yang Agung kita boleh belajar tentang fitrah manusia. Manusia wajar mempunyai sikap untuk memiliki dalam hal keduniaan. Ilmu yang diajar dari Al-Quran dan hadis adalah ilmu terawal tentang psikologi manusia berbanding psikologi barat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
" Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini , iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga)."

Tuesday, March 17, 2009

Hati Kecil Yang Memberontak ~ Schizoid Depressive Disorder



Jas, adalah seorang anak malang yang sepi dan terpinggir dari perhatian ibu dan bapanya.
Jas, adalah si tunggal yang menagih kasih ibu bapanya yang sangat materialistik untuk mengejar kekayaan, darjat dan status dunia.
Jas, adalah insan yang beremosi tetapi didera emosinya oleh gelagat orang tuanya.
Itulah Jas
Dialah Jas
Sugul, sepi dan tiada siapa ambil peduli tentangnya.
Hatinya sentiasa bergelodak
Hatinya sentiasa bermusim
Adakala dilanda badai
Adakala dilanda kemarau
Kemarau kasih yang berpanjangan membuatkan Jas panas bermain emosinya dan sangat berdendam.
Minda yang terus bercelaru mencari realiti kehidupan dalam khayalan
Jas terus hanyut dalam bayangan khayalan kehidupan yang dibinanya.
Mengisi ruang waktu bersama teman-teman yang tiada haluan dicelah-celah kehidupan yang gelap
Hanyut dalam cerekarama ciptaannya
Hanyut dalam gengaman dadah,arak,judi, seks rambang dan gejala-gejala sosial yang lain
Jas kini lemas dalam lautan dalam yang tiada batasan
Jas mencari identiti diri yang tidak kecapaian
Jas akhirnya terduduk lantaran emosinya yang bercelaru dan mindanya yang tidak keruan
Hati Jas sedih , pilu dan putus harapan
Mahu saja Jas mati
Membiarkan pencarian dirinya tamat disini
Tapi cubaan itu tidak menjadi
Fikiran Jas terus bercelaru
Suara mama dan papa menerjah ke kotak fikrannya
Dendam pada mama dan papa menunggu belah
Kusut dan bercelaru
Jas….bisikan suara halus menghasutnya untuk membunuh mereka
Jas tidak keruan lagi
Suara itu terus bergema menghasut dan terus menghasut hati
Jas pasrah dan akur dengan suara itu
Tindakan Jas diluar kawalan
Nafsu menguasai diri, Jas terus bertindak menikam mama dan papa
Jeritan mama dan papa memecah kesunyian alam
Tubuh longlai jatuh menyembah bumi
Tinggal lah Jas menongkah langit bersama airmata
Jas teramat sepi
Jiwa, hati dan minda terus berputar
Sang suara menerpa lagi
Bisikan demi bisikan menjentik hati Jas
Kini giliran Jas menemui ajal
Jas seperti dirasuk
Tiada lagi ingatan pada Tuhan
Tiada lagi penyesalan
Hanya yang tinggal suara yang membisik
Menghasut Jas menggadai nyawa diri
Sekali lagi Jas akur…..
Jas……. suara itu membisik
Selamat tinggal Jas….


Monday, March 2, 2009

Bila Hati dan Lidah Sama-sama Berbicara


Salam sejahtera, kesejahteraan datang dari Tuhan sesungguhnya Dia Maha sejahtera.
Hari berganti hari, cuaca di langit saling berganti. Minggu lalu terik, terang dan panas menyegit, minggu ini langit mendung, hujan berderai membasah bumi dan angin embun sejuk sekali.
Kalau diikut dengan ragam cuaca yang sering berubah-ubah, emosi juga sering tak keruan alamat iman di dada juga tidak tetap arah haluan. Minta semoga Tuhan mendengar setiap titipan doa yg dipersembahkan agar iman tidak dibolak-balik.

Semalam, Isnin seperti biasa aku akan terus dgn tugasan harian yg tak pernah habis. Pada firasatku tugasan ini takkan habis sampai ajalnya tiba. Aku juga bermohon semoga setiap tugasan dan tanggungjawab ini mendapat balasan pahala. Apa lagi yang aku inginkan selain dari keberkatan dan pahala dlm membantu insan diluar sana menerima kesihatan yang baik dan sejahtera. Walaupun aku yakin sekali penyembuhan bukan dari aku, namun wadahnya Allah tujukan melalui aku. Teringat kata2 seorang lelaki tua dlm lingkungan 50-an yang aku kira boleh dipanggil dgn gelaran 'pakcik'. Dia bersuara tanpa aku pinta ketika memberi suntikan IM di bahunya " Kalau pergi klinik orang bangsa lain, belum tentu baik sebab diaorang tak baca Bismillah". Begitulah pendapatnya, sambil hatiku tersenyum memahami. Mudahan dengan keikhlasan kata-katanya itu, Tuhan akan membantu menyembuhkan beliau.

Pujian dan penghargaan bukanlah suatu hal. Aku pernah juga dimaki dan dicaci lantaran kekhilafan perbuatan orang lain, caci-maki menyinggah kpd aku. Itulah manusai yg berhati keras. Keras bukan kerana berpegang teguh pd Agama Allah, tapi keras kerana meletakkan nafsu lebih tinggi dari akal lantas hati menjadi bebal dan buta. Syukur ketika itu aku dlm kewarasan yg suam-suam normal. Kalau diikutkan ragam yg sama, mahunya kami bercakaran kata-kata. Sesungguhnya Syaitan memang suka menyibuk waktu ini. Hasutan memang sudah menjadi darah dagingnya. Itulah janji dia pada Tuhan, menyesatkan Anakcucu Nabi Adam.

Amarah bukan jawapan utk permasalahan yg ditimbulkan. Kewarasan akal perlu dijunjung dlm segala urusan. Mengapa perlu meletakkan akal di bawah. Sedangkan telah dikisahkan dalam sebuah hadith iaitu:

"Sesungguhnya Allah menciptakan untuk malaikat akal tanpa hawa nafsu, menciptakan untuk haiwan hawa nafsu tanpa akal, dan menciptakan untuk manusia keduanya akal dan hawa nafsu. Maka, barangsiapa akalnya mengalahkan hawa nafsu, maka dia lebih baik daripada malaikat, barangsiapa hawa nafsunya mengalahkan akal, maka dia lebih rendah daripada haiwan"
Jadi, kenapa perlu bangga dgn kemenangan yg diperolehi hasil dari pertelingkan dan kemarahan. Mahukah kita menjadi seperti penyabung ayam, yg begitu taksub dan sombong bila berjaya mematikan ayam sabungan lawannya. Apa yg kita dapat hanyalah dosa bukan pahala.
Sebentar tadi aku berbual dengan seorang lelaki Cina. Tangannya terkena drill. Jadi dalam perbualan kami, aku terpegun kerana walau dlm kesakitan, dia sangat berbudi bahasa. Apabila aku memaklumi hal itu kepadanya, dia tersenyum dan menidakkan kata-kata aku. Katanya " saya tidak fasih berbahasa Melayu". Lantas aku membalas pandanganya " Bukan masalah bahasa yg saya maksudkan tetapi cara awak bertutur sangat baik dan sopan". Dia tersenyum seakan mewajarkan kata-kataku.
Lidah itu lebih tajam daripada pedang. Bicara nasihat atau hasutan boleh menikam hati sesorang utk berubah menjadi lebih baik atau lebih jahat, lebih berakal atau lebih dungu. Sesunguhnya daripada hadis yg diriwayatkan oleh Baihaqi iaitu;
"Amal yg paling disukai Allah ialah memelihara kata-kata yg diucapkan"
Manakala itu lidah yg melontar kata-kata perlu lahir dari hati yg ikhlas dan lembut kerana Saidina Ali bin Abu Talib pernah berkata,
" Sesungguhnya Allah mempunyai bejana di muka bumi dan ia adalah dalam bentuk hati-hati manusia. Hati yang paling dikasihi ALLAH ialah hati yang paling lembut, yang paling suci dan yang paling keras. Maksud yang paling keras ialah yang paling keras berpegang teguh pada agama Allah. Maksud yang paling suci ialah yang paling suci daripada sudut keyakinan dan maksud yang paling lembut ialah yang paling berlemah lembut kepada sahabat dan taulan."

Friday, February 27, 2009

Lipoma


Lipoma adalah sejenis ketumbuhan yang berasal dari tisu lemak. Ia tumbuh diantara bawah kulit dan lapisan otot. Bila ditekan kulit di atasnya, ia akan bergerak sedikit. Rasanya lembut dan kadang-kadang berbonjol. Ianya selalu tumbuh di kawasan bawah kulit sekita bahu, lengan, leher dan peha. Tidak membahaya, tapi kalau menggangu boleh dibuang melalui pembedahan.

Tuesday, February 24, 2009

Tokoh Perubatan~ Ibn Sina

Ibn Sina

Ibnu Sina merupakan doktor Islam yang terulung. Sumbangannya dalam bidang perubatan bukan sahaja diperakui oleh dunia Islam tetapi juga oleh para sarjana Barat. Nama sebenar Ibnu Sina ialah Abu Ali al-Hussian Ibnu Abdullah. Tetapi di Barat, beliau lebih dikenali sebagai Avicenna.

Ibnu Sina dilahirkan pada tahun 370 Hijrah bersamaan dengan 980 Masihi. Pengajian peringkat awalnya bermula di Bukhara dalam bidang bahasa dan sastera. Selain itu, beliau turut mempelajari ilmu-ilmu lain seperti geometri, logik, matematik, sains, fiqh, dan perubatan.

Walaupun Ibnu Sina menguasai pelbagai ilmu pengetahuan termasuk falsafah tetapi beliau lebih menonjol dalam bidang perubatan sama ada sebagai seorang doktor ataupun mahaguru ilmu tersebut.

Ibnu Sina mula menjadi terkenal selepas berjaya menyembuhkan penyakit Putera Nub Ibn Nas al-Samani yang gagal diubati oleh doktor yang lain. Kehebatan dan kepakaran dalam bidang perubatan tiada tolok bandingnya sehingga beliau diberikan gelaran al-Syeikh al-Rais (Mahaguru Pertama).

Kemasyhurannya melangkaui wilayah dan negara Islam. Bukunya Al Qanun fil Tabib telah diterbitkan diRom pada tahun 1593 sebelum dialihbahasakan ke dalam bahasa Inggeris dengan judul Precepts of Medicine. Dalam jangka masa tidak sampai 100 tahun, buku itu telah dicetak ke dalam 15 buah bahasa. Pada abad ke-17, buku tersebut telah dijadikan sebagai bahan rujukan asas diuniversiti-universiti Itali dan Perancis. Malahan sehingga abad ke-19, bukunya masih diulang cetak dan digunakan oleh para pelajar perubatan.

Ibnu Sina juga telah menghasilkan sebuah buku yang diberi judul Remedies for The Heart yang mengandungi sajak-sajak perubatan. Dalam buku itu, beliau telah menceritakan dan menghuraikan 760 jenis penyakit bersama dengan cara untuk mengubatinya. Hasil tulisan Ibnu Sina sebenarnya tidak terbatas kepada ilmu perubatan sahaja. Tetapi turut merangkumi bidang dan ilmu lain seperti metafizik, muzik, astronomi, philologi (ilmu bahasa), syair, prosa, dan agama.

Penguasaannya dalam pelbagai bidang ilmu itu telah menjadikannya seorang tokoh sarjana yang serba boleh. Beliau tidak sekadar menguasainya tetapi berjaya mencapai tahap zenith iaitu puncak kecemerlangan tertinggi dalam bidang yang diceburinya.

Di samping menjadi zenith dalam bidang perubatan, Ibnu Sina juga menduduki ranking yang tinggi dalam bidang ilmu logik sehingga digelar guru ketiga. Dalam bidang penulisan, Ibnu Sina telah menghasilkan ratusan karya termasuk kumpulan risalah yang mengandungi hasil sastera kreatif.

Perkara yang lebih menakjubkan pada Ibnu Sina ialah beliau juga merupakan seorang ahli falsafah yang terkenal. Beliau pernah menulis sebuah buku berjudul al-Najah yang membicarakan persoalan falsafah. Pemikiran falsafah Ibnu Sina banyak dipengaruhi oleh aliran falsafah al-Farabi yang telah menghidupkan pemikiran Aristotle. Oleh sebab itu, pandangan perubatan Ibnu Sina turut dipengaruhi oleh asas dan teori perubatan Yunani khususnya Hippocrates.

Perubatan Yunani berasaskan teori empat unsur yang dinamakan humours iaitu darah, lendir (phlegm), hempedu kuning (yellow bile), dan hempedu hitam (black bile). Menurut teori ini, kesihatan seseorang mempunyai hubungan dengan campuran keempat-empat unsur tersebut. Keempat-empat unsur itu harus berada pada kadar yang seimbang dan apabila keseimbangan ini diganggu maka seseorang akan mendapat penyakit.

Setiap individu dikatakan mempunyai formula keseimbangan yang berlainan. Meskipun teori itu didapati tidak tepat tetapi telah meletakkan satu landasan kukuh kepada dunia perubatan untuk mengenal pasti punca penyakit yang menjangkiti manusia. Ibnu Sina telah menapis teori-teori kosmogoni Yunani ini dan mengislamkannya.

Ibnu Sina percaya bahawa setiap tubuh manusia terdiri daripada empat unsur iaitu tanah, air, api, dan angin. Keempat-empat unsur ini memberikan sifat lembap, sejuk, panas, dan kering serta sentiasa bergantung kepada unsur lain yang terdapat dalam alam ini. Ibnu Sina percaya bahawa wujud ketahanan semula jadi dalam tubuh manusia untuk melawan penyakit. Jadi, selain keseimbangan unsur-unsur yang dinyatakan itu, manusia juga memerlukan ketahanan yang kuat dalam tubuh bagi mengekalkan kesihatan dan proses penyembuhan.

Pengaruh pemikiran Yunani bukan sahaja dapat dilihat dalam pandangan Ibnu Sina mengenai kesihatan dan perubatan, tetapi juga bidang falsafah. Ibnu Sina berpendapat bahawa matematik boleh digunakan untuk mengenal Tuhan. Pandangan seumpama itu pernah dikemukakan oleh ahli falsafah Yunani seperti Pythagoras untuk menghuraikan mengenai sesuatu kejadian. Bagi Pythagoras, sesuatu barangan mempunyai angka-angka dan angka itu berkuasa di alam ini. Berdasarkan pandangan itu, maka Imam al-Ghazali telah menyifatkan fahaman Ibnu Sina sebagai sesat dan lebih merosakkan daripada kepercayaan Yahudi dan Nasrani.

Sebenarnya, Ibnu Sina tidak pernah menolak kekuasaan Tuhan. Dalam buku An-Najah, Ibnu Sina telah menyatakan bahawa pencipta yang dinamakan sebagai "Wajib al-Wujud" ialah satu. Dia tidak berbentuk dan tidak boleh dibahagikan dengan apa-apa cara sekalipun. Menurut Ibnu Sina, segala yang wujud (mumkin al-wujud) terbit daripada "Wajib al-Wujud" yang tidak ada permulaan.

Tetapi tidaklah wajib segala yang wujud itu datang daripada Wajib al-Wujud sebab Dia berkehendak bukan mengikut kehendak. Walau bagaimanapun, tidak menjadi halangan bagi Wajib al-Wujud untuk melimpahkan atau menerbitkan segala yang wujud sebab kesempurnaan dan ketinggian-Nya.

Pemikiran falsafah dan konsep ketuhanannya telah ditulis oleh Ibnu Sina dalam bab "Himah Ilahiyyah" dalam fasal "Tentang adanya susunan akal dan nufus langit dan jirim atasan.

Pemikiran Ibnu Sina ini telah rnencetuskan kontroversi dan telah disifatkan sebagai satu percubaan untuk membahaskan zat Allah. Al-Ghazali telah menulis sebuah buku yang berjudul Tahafat al'Falasifah (Tidak Ada Kesinambungan Dalam Pemikiran Ahli Falsafah) untuk membahaskan pemikiran Ibnu Sina dan al-Farabi.

Antara percanggahan yang diutarakan oleh al-Ghazali ialah penyangkalan terhadap kepercayaan dalam keabadian planet bumi, penyangkalan terhadap penafian Ibnu Sina dan al-Farabi mengenai pembangkitan jasad manusia dengan perasaan kebahagiaan dan kesengsaraan di syurga atau neraka.

Walau apa pun pandangan yang dikemukakan, sumbangan Ibnu Sina dalam perkembangan falsafah Islam tidak mungkin dapat dinafikan. Bahkan beliau boleh dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab menyusun ilmu falsafah dan sains dalam Islam. Sesungguhnya, Ibnu Sina tidak sahaja unggul dalam bidang perubatan tetapi kehebatan dalam bidang falsafah mengatasi gurunya sendiri iaitu al-Farabi.

sumber: alhakelantan.tripod.com









Melepaskan Perasaan Melalui Mata Pena


Mulanya aku tercari-cari kata untuk dibicarakan dengan hati yang gundah. Kenapa hati begitu sekali. Di mana letaknya akal ketika itu. Sudah menjadi adat dalam daging manusia, bila berubat dengan orang lama ia sudah menjadi keserasian. Itu mereka belajar dari pengalaman. Kau adalah tabib yang baru di sini. Mengapa perlu mengalah. Tiada alasan untuk itu. Mereka mencari keserasian. Dalam dirimu mereka belum ketemui. Sabar, masa berlalu. Ruang untuk mu tersedia ada. Hanya kau saja yang perlu memberi peluang dan waktu.
Hati berkata " sampai bila dan bila?"
Akal menjawab " sehingga kesabaran sanggup menanti dan pengalaman mahu belajar"
Hati bersuara lagi " tidakkah itu satu paksaan?"
Akal menjelaskan " wahai sahabatku yg gundah, paksaan akan lemah bila bertemu dengan ikhlas. Kau sedang berjuang untuk berbakti kepada insan. Rencah yg betul, sedap perlu disebatikan supaya yg susah menjadi indah, yg indah tidak tercela"
Hati tertunduk akur melihat akal menguasai diri....
Sekian bicara hati.

Friday, February 20, 2009

Bicara tentang Tunggu Teduh Dulu


Buku hasil nukilan Faisal Tehrani memang mengagumkan saya. Bahasa yang digunakan sungguh puitis dan pelbagai. Saya belajar banyak perkatan baru seperti gontai, rasis, sejeda, pongah, cekatan dan banyak lagi. Maklumlah baru nak mengenal bahasa sastera.
Mengenai kisah cinta bersegi-segi di kebun papaya, ia digarap dengan baik tetapi agak memenatkan untuk menanti pilihan hati Salsabilah. Salsabilah Fahim, wanita yg sederhana lawa (pada gambaran saya), mungkin mempunyai aura tersendiri yg menyebabkan ramai lelaki tertawan dengan peribadinya. Dia seperti wanita lain, agak tegas, suka menyepi, tidak suka berkongsi, sensitif dan mudah tertekan walaupun dia banyak bersabar. Sabar Salsabilah datang dari kekuatannya pada pergantungan dengan Allah. Sebab setiap kali dia mengalami tekanan, dia akan berhirbenasi dan bermunasabah dirinya kepada Allah.

Salsabilah berjaya kerana dia mempunyai peluang dan ruang. Pasti juga bonus yg diperolehi ini datang dari doa yg tidak putus-putus dipanjatkan kepada Ilahi. Peluang dan ruang itu adalah; Teh Sofia dan ayahnya, Lam, Kamil, Sazli, Dendy dan pekerja-pekerjanya. Mereka digambarkan dengan suasana yg hampir 100% positive menyokong impian Salsabilah. Walaupun di depani pelbagai dugaan dan cabaran mereka bekerja sebagai sebuah keluarga di bawah Teduh Dulu. Mereka begitu teguh.Nilai persahabatan yang tinggi bagai pembawa kasturi dan nilai pergantungan yang Esa amat dekat dan terpaut. Pilihan cinta manusia tidak perlu dicari. Ianya sudah ditentukan Tuhan. Walaupun pertemuan itu jelas dan ada tetapi jodoh tidak tertulis untuk mereka. Salsabilah benar-benar mengharap dorongan dari yang Esa lantas ingin benar mencari nokhtah cinta manusiawi di hadapan Kaabah. Cinta Kaabah di Tanah Haram begitu mulus.

Novel Islamik ini perlu dibaca bagi membongkar ketauhidan kita kepada ALLAH. Banyak ayat-ayat yang dipinjam dari hadis dan Firman ALLAH di dalam buku ini .Secara tidak lansung kita perolehi kebaikan dan fahaman secara penceritaan

Friday, February 13, 2009

Jadilah Benih yang Subur


Pepatah Melayu "Jadilah benih yang baik, campak ke laut menjadi pulau, campak ke darat menjadi rimba"
  • Pantun dari seorang aktivis masyarakat Pantai Timur, Almarhum Haji Abdullah Mohamad
" Jadilah benih yang bernas,
Seribu tahun dijemur panas,
Digetus digetas binatang buas,
Tetap tumbuh mencetus tunas."