Friday, September 18, 2009

Kenangan Sehari Sebelum Aidilfitri...

Jam tepat 7.35am, September 19 2009, pagi yang disambut dengan deraian airmata hujan dari langit ciptaan Tuhan. Aku merenung jam di tangan. Renungan yang agak lama memerhati jarum saat yg tidak berhenti-henti berdetik kerana bateri masih berfungsi. Begitu jugalah manusia, andainya ajal sudah tiba, maka berhentilah dia bernafas. Kembali memerhati kereta hitamku dari celah-celah deraian hujan yang menitis. Tanpa berkira-kira lagi langkahku pantas seperti kilat melibas air hujan walaupun basah hampir melencunkan baju yang menutup tubuhku.

Ramadhan dihujung hari. Bersamaan 29 Ramadhan. Detik yang sering aku tunggu sewaktu kecil dahulu. Membayangkan suasana sewaktu itu memang ternyata indah dan teruja menanti Aidilfitri esoknya. Pakaian serba cantik di pagi raya, bersalaman dengan emak sambil tersenyum melihat emak menangis ketika bersalaman dan berpeluk denganku. Kenapa aku tersenyum ketika itu tidak pula sebaliknya? Ah itulah aku saat adanya dia, aku sering bergurau walau dipagi raya aku masih sempat tersenyum sinis melihat emak menangis ketika bersalaman. Dan emak pula begitu memahami apa erti kemaafan dan kasih sayang, tidak seperti aku yang masih mentah dan keanak-anakkan.

Tidak pula seperti sehari sebelum Aidilfitri yang lalu, saat ini tiada sambal lodeh, sambal udang dan ikan bilis, ketupat, rendang daging 'hijau' yang dicop buatan dua tangan emak. Halal tidak perlu pengesahan Jakim. Walaupun hidangan seperti itu masih ada, tapi tidak sama seperti rencah dan rasa dari hasil air tangan emak. Tinggi mana pun aku belajar, pagi-pagi raya lidah aku lebih serasi dengan hidangan dari emak. Sudah bertahun-tahun kehidupan seperti itu. Kelalian rasa sudah sebati dari kecilnya tapak kaki hingga berkerut kulitnya kini aku masih inginkan yang asli dari emak. Begitulah indahnya kasih sayang yang telah bersemi dalam hati ini. Kasih sayang yang Tuhan limpahkan buat seorang ibu untuk anaknya, bukan hanya dititip dibibir tapi telus ke hati.

Menyambut bakal Aidilfitri esok hari, seperti tiada apa yang berubah. Tidak seperti dulu, penat lelah membuat persediaan raya uh! memang terasa. Kerusi, meja dan segala perabot disusun atur semula. Berseri-seri ruang tamu dengan meja dihiasi bunga-bunga plastik dan alas meja bercorak-corak dihampar sebagai hiasan dalaman yang paling mewah ketika itu. Pereka hiasan dalaman emak adalah kakak. Aku pula adalah ajk tugas-tugas khas. Angkat sana dan angkat sini. Berpeluh-peluh badan nasib baik hanya tinggal satu hari sahaja untuk menahan lapar. Bukan itu saja perlu dibuat karpet perlu dibentang, cadar dan sarung bantal ditukar dan paling aku benci sekali pasang langsir....Bab pasang langsir sering mencetuskan perbalahan hangat antara aku dengan emak. Sebab kenapa? ada macam-macam sebab dengan setiap tahun berlainan sebabnya. Hihihi...ngada-ngada aku ni.

Berlegar pula di dapur. Aduh! penuh dengan periuk, kuali dan pinggan magkuk yang perlu dicuci. Ketupat, ah! dari awal sudah dimasak dalam periuk besar. "Jangan lupa tengok air, tambah bila kering" pesan emak. Api pula perlu dijaga, hilang nyalanya kayu-kayu di belakang rumah diangkut dan disorong bawah periuk. Api marak, tarik sedikit kayu keluar. Begitulah persediaan masak-memasak untuk hidangan Aidilfitri esok hari ketika itu. Menjelang Asar, 70% sudah siap. Tiba waktu maghrib seratus peratus siap sepenuhnya. Tugas emak sudah selesai, tugasan aku masih ada lagi, usai Isya' bersiap sedia pula menghidang hidangan ringan untuk orang kampung yang datang bertakbir. Bukan saja hidangan disediakan, duit raya sekali!. Anggaran ramainya tetamu 20-30 orang, meriah memang meriah (senyum...). Ingatkan dah siap rupanya belum siap lagi. "Jangan lupa baju dan tundung emak, gosokkan.." pesanan dari emak lagi...Emm bukan saja tudung, baju, telekong. Jubah dan lain-lain juga perlu aku gosok.

Itulah pahit, manis, suka, duka dan hilai tawa sebagai memori penat lelah persediaan raya antara aku dan emak sehari sebelum Aidilfitri. Kini tidak lagi....tiada pesanan-pesanan dan leteran emak untuk itu dan ini. Sedakar kenangan...moga rohmu dicucuri Rahmatnya.