Friday, March 20, 2009

Manusia Cenderung Untuk Memiliki dan Bersaing

Kesejahteraan dari Mu dan milik Mu. Semoga kita diberkati Ilahi.

Dikesempatan yang ada, diberi masa dan ilmu, semoga ianya memberi manfaat jika kita pandai mengambil manfaat darinya.

Dari segi psikologi, manusia mempunyai daya pemilikan yang tinggi. Bukan saja terhadap hal-hal peribadi seperti ingin disayangi, dibelai, juga hal-hal lain seperti perkahwinan, anak, kekayaan, ilmu, pekerjaan, kewangan dan kemasyhuran.

Pemilikan ini adalah salah satu motivasi jasmani dan rohani (an-nafsiyyah wa ar-ruhiyyah). Manusia melalui proses keinginan ini untuk mencapai keselesaan dalam hidup. Namun begitu kecenderungan ini kadang-kadang melampaui batas menyebabkan manusia hilang pedoman sehingga berlakunya kes-kes seperti membunuh kerana cemburu, menzalimi hak sesama manusia, merebut pangkat dengan wang. Keinginan yang mendalam yang cenderung kepada kerosakkan atau bencana ini dipanggil delusion disorder

Dalam proses untuk memiliki, manusia sering bersaing. Persaingan yang wajar dan positif tidak menjadi satu hal. Ia digalakkan dan jelas dari Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya orang yang berbakti itu benar-benar berada dalam kenikmatan yang besar (syurga), mereka (duduk) di atas dipan-dipan sambil memandang. Kamu dapat mengetahui dari wajah mereka kesenangan hidup mereka yang penuh kenikmatan. Mereka diberi minum dari khamar murni yang dilak(tempatnya), laknya adalah kasturi dan untuk yang demikian itu hendaknya orang-orang berlumba-lumba"

Mengikut psikologi yang dibentangkan oleh Rasulullah SAW, persaingan duniawi yang dianjurkan adalah yang mendekatkan diri demi untk mendapat keredhaan Allah SWT. Seperti yang diterangkan melalui hadithnya iaitu:

Dari Yazid bin al-Akhnas RA mengatakan, Rasulullah SAW pernah bersabda iaitu:
" janganlah di antara kalian berlumba-lumba kecuali dalam dua hal. Pertama, orang yang diberikan al-Quran oleh Allah SWT, kemudian orang itu menjalankan dan mengikuti isi kandungan al-Quran siang dan malam. lalu orang itu mengatakan bahawa jika Allah SWT memberiku seperti apa yang telah diberikan kepada si fulan itu, maka saya akan menjalankan seperti apa yang telah diijalankannya. Kedua, orang yang diberikan oleh Allah SWT harta kekayaaannya. Orang itu mengatakan bahawa jika Allah SWT memberiku seperti apa yang telah diberikan kepada si fulan itu, maka saya akan bersedekah dengan harta itu"
Dari kitab yang Agung kita boleh belajar tentang fitrah manusia. Manusia wajar mempunyai sikap untuk memiliki dalam hal keduniaan. Ilmu yang diajar dari Al-Quran dan hadis adalah ilmu terawal tentang psikologi manusia berbanding psikologi barat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
" Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini , iaitu wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia; dan di sisi Allah tempat kembali yang baik (syurga)."

Tuesday, March 17, 2009

Hati Kecil Yang Memberontak ~ Schizoid Depressive Disorder



Jas, adalah seorang anak malang yang sepi dan terpinggir dari perhatian ibu dan bapanya.
Jas, adalah si tunggal yang menagih kasih ibu bapanya yang sangat materialistik untuk mengejar kekayaan, darjat dan status dunia.
Jas, adalah insan yang beremosi tetapi didera emosinya oleh gelagat orang tuanya.
Itulah Jas
Dialah Jas
Sugul, sepi dan tiada siapa ambil peduli tentangnya.
Hatinya sentiasa bergelodak
Hatinya sentiasa bermusim
Adakala dilanda badai
Adakala dilanda kemarau
Kemarau kasih yang berpanjangan membuatkan Jas panas bermain emosinya dan sangat berdendam.
Minda yang terus bercelaru mencari realiti kehidupan dalam khayalan
Jas terus hanyut dalam bayangan khayalan kehidupan yang dibinanya.
Mengisi ruang waktu bersama teman-teman yang tiada haluan dicelah-celah kehidupan yang gelap
Hanyut dalam cerekarama ciptaannya
Hanyut dalam gengaman dadah,arak,judi, seks rambang dan gejala-gejala sosial yang lain
Jas kini lemas dalam lautan dalam yang tiada batasan
Jas mencari identiti diri yang tidak kecapaian
Jas akhirnya terduduk lantaran emosinya yang bercelaru dan mindanya yang tidak keruan
Hati Jas sedih , pilu dan putus harapan
Mahu saja Jas mati
Membiarkan pencarian dirinya tamat disini
Tapi cubaan itu tidak menjadi
Fikiran Jas terus bercelaru
Suara mama dan papa menerjah ke kotak fikrannya
Dendam pada mama dan papa menunggu belah
Kusut dan bercelaru
Jas….bisikan suara halus menghasutnya untuk membunuh mereka
Jas tidak keruan lagi
Suara itu terus bergema menghasut dan terus menghasut hati
Jas pasrah dan akur dengan suara itu
Tindakan Jas diluar kawalan
Nafsu menguasai diri, Jas terus bertindak menikam mama dan papa
Jeritan mama dan papa memecah kesunyian alam
Tubuh longlai jatuh menyembah bumi
Tinggal lah Jas menongkah langit bersama airmata
Jas teramat sepi
Jiwa, hati dan minda terus berputar
Sang suara menerpa lagi
Bisikan demi bisikan menjentik hati Jas
Kini giliran Jas menemui ajal
Jas seperti dirasuk
Tiada lagi ingatan pada Tuhan
Tiada lagi penyesalan
Hanya yang tinggal suara yang membisik
Menghasut Jas menggadai nyawa diri
Sekali lagi Jas akur…..
Jas……. suara itu membisik
Selamat tinggal Jas….


Monday, March 2, 2009

Bila Hati dan Lidah Sama-sama Berbicara


Salam sejahtera, kesejahteraan datang dari Tuhan sesungguhnya Dia Maha sejahtera.
Hari berganti hari, cuaca di langit saling berganti. Minggu lalu terik, terang dan panas menyegit, minggu ini langit mendung, hujan berderai membasah bumi dan angin embun sejuk sekali.
Kalau diikut dengan ragam cuaca yang sering berubah-ubah, emosi juga sering tak keruan alamat iman di dada juga tidak tetap arah haluan. Minta semoga Tuhan mendengar setiap titipan doa yg dipersembahkan agar iman tidak dibolak-balik.

Semalam, Isnin seperti biasa aku akan terus dgn tugasan harian yg tak pernah habis. Pada firasatku tugasan ini takkan habis sampai ajalnya tiba. Aku juga bermohon semoga setiap tugasan dan tanggungjawab ini mendapat balasan pahala. Apa lagi yang aku inginkan selain dari keberkatan dan pahala dlm membantu insan diluar sana menerima kesihatan yang baik dan sejahtera. Walaupun aku yakin sekali penyembuhan bukan dari aku, namun wadahnya Allah tujukan melalui aku. Teringat kata2 seorang lelaki tua dlm lingkungan 50-an yang aku kira boleh dipanggil dgn gelaran 'pakcik'. Dia bersuara tanpa aku pinta ketika memberi suntikan IM di bahunya " Kalau pergi klinik orang bangsa lain, belum tentu baik sebab diaorang tak baca Bismillah". Begitulah pendapatnya, sambil hatiku tersenyum memahami. Mudahan dengan keikhlasan kata-katanya itu, Tuhan akan membantu menyembuhkan beliau.

Pujian dan penghargaan bukanlah suatu hal. Aku pernah juga dimaki dan dicaci lantaran kekhilafan perbuatan orang lain, caci-maki menyinggah kpd aku. Itulah manusai yg berhati keras. Keras bukan kerana berpegang teguh pd Agama Allah, tapi keras kerana meletakkan nafsu lebih tinggi dari akal lantas hati menjadi bebal dan buta. Syukur ketika itu aku dlm kewarasan yg suam-suam normal. Kalau diikutkan ragam yg sama, mahunya kami bercakaran kata-kata. Sesungguhnya Syaitan memang suka menyibuk waktu ini. Hasutan memang sudah menjadi darah dagingnya. Itulah janji dia pada Tuhan, menyesatkan Anakcucu Nabi Adam.

Amarah bukan jawapan utk permasalahan yg ditimbulkan. Kewarasan akal perlu dijunjung dlm segala urusan. Mengapa perlu meletakkan akal di bawah. Sedangkan telah dikisahkan dalam sebuah hadith iaitu:

"Sesungguhnya Allah menciptakan untuk malaikat akal tanpa hawa nafsu, menciptakan untuk haiwan hawa nafsu tanpa akal, dan menciptakan untuk manusia keduanya akal dan hawa nafsu. Maka, barangsiapa akalnya mengalahkan hawa nafsu, maka dia lebih baik daripada malaikat, barangsiapa hawa nafsunya mengalahkan akal, maka dia lebih rendah daripada haiwan"
Jadi, kenapa perlu bangga dgn kemenangan yg diperolehi hasil dari pertelingkan dan kemarahan. Mahukah kita menjadi seperti penyabung ayam, yg begitu taksub dan sombong bila berjaya mematikan ayam sabungan lawannya. Apa yg kita dapat hanyalah dosa bukan pahala.
Sebentar tadi aku berbual dengan seorang lelaki Cina. Tangannya terkena drill. Jadi dalam perbualan kami, aku terpegun kerana walau dlm kesakitan, dia sangat berbudi bahasa. Apabila aku memaklumi hal itu kepadanya, dia tersenyum dan menidakkan kata-kata aku. Katanya " saya tidak fasih berbahasa Melayu". Lantas aku membalas pandanganya " Bukan masalah bahasa yg saya maksudkan tetapi cara awak bertutur sangat baik dan sopan". Dia tersenyum seakan mewajarkan kata-kataku.
Lidah itu lebih tajam daripada pedang. Bicara nasihat atau hasutan boleh menikam hati sesorang utk berubah menjadi lebih baik atau lebih jahat, lebih berakal atau lebih dungu. Sesunguhnya daripada hadis yg diriwayatkan oleh Baihaqi iaitu;
"Amal yg paling disukai Allah ialah memelihara kata-kata yg diucapkan"
Manakala itu lidah yg melontar kata-kata perlu lahir dari hati yg ikhlas dan lembut kerana Saidina Ali bin Abu Talib pernah berkata,
" Sesungguhnya Allah mempunyai bejana di muka bumi dan ia adalah dalam bentuk hati-hati manusia. Hati yang paling dikasihi ALLAH ialah hati yang paling lembut, yang paling suci dan yang paling keras. Maksud yang paling keras ialah yang paling keras berpegang teguh pada agama Allah. Maksud yang paling suci ialah yang paling suci daripada sudut keyakinan dan maksud yang paling lembut ialah yang paling berlemah lembut kepada sahabat dan taulan."