Friday, May 31, 2013

Puisi Ulangtahun Perkahwinan Yang ke-11

1.6.2013

Di sebalik1.6.2013
Ada memori yang mahu dikenang
Di sebalik memori yang dicipta
Ada qabul yang telah diijabkan
Di sebalik akad yang diakur
Ada walimah meriah telah diraikan
Di sebalik 1.6.2013
Ada pertemuan pada 1.6.2002
Di sebalik  lipatan sutera kasih
Ada senyum dan tawa
Ada kasih dan rindu
Ada duka dan lara
Ada rajuk dan rengut
Di sebalik 1.6.2013
Tiada kepastian untuk dijanjikan
Inilah rahsia, hanya Allah yang tahu

Saturday, March 16, 2013

Jadilah ibu berinspirasi dan menginspirasi





gambar di atas diambil dari pakcik google...thank you

Coretan ini mengenai anak-anakku. Suatu pagi aku memberi inspirasi pada anak-anak. Ada beberapa perkara yang aku sentuh secara positif contohnya seperti:

1. Sebagai abang perlu bertolak-ansur dengan adik adik-adik Begitulah sebaliknya.
2. Jika marah cuba belajar untuk kawal perasaan marah melalui cara yang Islam sarankan seperti tukar posisi kita, istighfar, diam atau sejukkan dengan air samada mandi, wuduk atau tak sempat cukup sekadar membasuh muka.
3. aku memberi inspirasi dengan tag line Prof Muhaya iaitu " dunia dalaman kita menetukan dunia luaran kita"
4. Aku memuji dan melabel dengan kata-kata seperti anak soleh, anak baik, rajin solat, rajin mengaji, rajin baca alquran dan macam-macam yang baik saje
5. aku meransang jiwa anak-anak dengan kata-kata inspirasi yang aku dengar melalui radio dan buku cerita
6. Aku ceritakan kisah-kisah teladan yang islamiyah contoh kisah seorang anak yang ingin menuntut ilmu di Mekah . Namun ibunya tidak redha dan mendoakan yang tidak baik untuk dirinya. Anak itu tetap meneruskan hajatnya dan menuntut ilmu serta menjadi orang yang alim di Mekah.  Namun Allah mendengar doa ibu itu dan memperkenankan dengan mendatangkan musibah kepada si anak. Akhirnya anak itu kembali kepada ibunya dalam keadaan cacat. Ibu itu sedih melihat keadaan anaknya dan terus  berdoa kepada Allah supaya mengakhiri hidup mereka bersama-sama. Akhirnya kedua-dua beranak itu pun meninggal dunia bersama-sama. Aku menjelaskan moral dari kisah itu kepada anak-anak bahawa redha ibu adalah redha Allah dan sebagai ibu perlu sentiasa meransang perkara baik yang anak ingin lakukan bukan sebaliknya. Ibu juga perlu mendokan yang baik malah terbaik untuk anak zuriatnya. Itu adalah hak kepada anak-anak.
7.  Aku belajar dan mengajar mereka supaya melihat orang lain dengan sangkaan yang baik. Contoh anak perempuanku Mai diuji bakatnya untuk memasuki pertandingan bercerita bahasa Melayu, tapi dia tidak terpilih sebaliknya pelajar lain yang telah mempunyai peluang memasuki perrtandingan bercerita bahasa Inggeris diberi peluang itu. Mai berasa tidak adil dan marah. Aku cuba memahamkan dia dengan menerangkan bahawa:
  1. Pertama jika Mai merasakan diri mempunyai bakat atau ingin mencuba maka perlu tonjolkan dengan penuh keyakinan, bersungguh-sungguh dan berani.
  2. Kedua jika langkah pertama dah buat, tidak terpilih juga Mai mesti fikir baik iaitu belum ada peluang dan kawan itu lebih berbakat dan peluang/rezeki memihak kepada dia.
  3. Ketiga kekalkan berusaha. Peluang ada di mana-mana dan  itu bukan sesuatu yang perlu dikatakan gagal atau berasa kecewa. Buang perasaan kecewa.
8. Aku belajar untuk menyampaikan inspirasi-inspirasi ini untuk memberi semangat kepada anak-anak supaya mereka seronok mencari ilmu ketika zaman pembelajaran secara formal melalui sekolah dan tidak formal diluar bilik darjah. Sebab aku tidak jumpa kata-kata atau istilah inspirasi semasa zaman itu dulu. baru kini berjumpa maka kitaran yang sedia ada perlu diubah supaya melahirkan hasil yang lebih baik berbanding sebelum ini.

9. Aku juga menyampaikan cerita di mana kegagalan bukan akhir setiap usaha. Aku perla gagal berkali-kali ketika belajar perubatan dulu. Tapi aku berusaha gigih lagi dan mencari kesilapan apa yang membuatkan aku gagal. Aku sedar yang aku ada buat dosa. Aku mohon Allah ampunkan dosa itu. Aku banyakkan solat hajat dan dhuha. Aku call emak kat kampung agar dia mendoakan untuk kejayaan aku dan seingat aku inilah kata-katanya.
     " Mak sentiasa mendokan kau. Bilik mak tu dah jadi macam surau..mak doa, sembahyang, dan doa lagi"
Itu kisah yang perlu aku titipkan pada anak-anak. Kegagalan adalah sebahagian mukasurat kehidupan untuk menempa kejayaan. Ia boleh berlaku seiring dan itu lebih baik dan sangat mematangkan kehidupan di masa hadapan.

10. aku juga menerapkan istilah 5s iaitu tagline yang diambil dari idea asal Prof Muhaya iaitu senyum, sapa, salam, sopan dan santun. mereka ingat dan selalu sebut-sebutkan

Ini hanya perkongsian sebahagian kehidupan di dunia ini. Aku hanya orang biasa yang kerdil. Banyak kekurangan dalam diri yang ada terselit di mana-mana bahagian diri ini. Namun jauh sudut hati dan juga fitrah kejadian seseorang manusia inginkan kebaikan dan syurga. Tanyalah siapa saja hatta penjahat. Mereka juga inginkan syurga. Begitu juga aku. Kehidupan yang sementara ini membuatkan aku ingin belajar jadi baik dan memberi manfaat kepada orang sekeliling. Jika aku boleh mendidik anak-anak dengan baik, membentuk jiwa dan akhlak mereka seperti pewaris-pewaris Nabi, itu juga sudah cukup baik dan memberi manfaat kepada manusia lain. Tapi jauh dari sudut hati ini memohon semoga Allah pelihara hatiku dari sifat riak, takbur dan sangka diri ini "bajet bagus" Jauhkanlah itu.


Friday, March 8, 2013

Hakikat Kematian bagi Si anak kecil



Suatu senja, aku menyediakan makan malam untuk anakku Luqman. Anak-anak yang lain tiada di rumah. Itu menjadi rutin aku kini setiap Isnin, Selasa dan Rabu. Hanya aku, Luqman dan dua lagi si kecil yang mengisi ruang rumah di waktu seperti ini. Sementara itu Arif dan Mai menghadiri kelas agama yang diajar oleh Ustaz Taufik di Semabok.

Tiba-tiba Luqman memulakan perbualan di antara kami.
    Katanya " Ummi nanti Anchik dah besar, Anchik nak jadi angkasawan, boleh tak?".
Aku tersenyum sambil membasuh pinggan mangkuk dan lantas membalas soalannya dengan balasan manja
    " Laa...nanti sapa nak jaga Ummi dan macam mana kalau Ummi rindukan Anchik?".
Suasana terdiam seketika. mungkin dia mencari idea apa yang nak dijawab pada Ummi ni. Kemudian terdengar dia bersuara kembali.
    "Ummi bukan ke bila Anchik dah besar, Ummi dah meninggal?".
    " Ah..apa tak dengar?" aku membalas.
    "Bukanke Ummi dan Babah dah meninggal bila Anchik dah besar nanti?". Luqman bersuara dengan lebih perlahan, tapi kuat dan jelas sebab aku tak dengar jawapan dia yang awal tadi.
    " Oh macam tu ye...". Aku terdiam seketika dan berfikir.

Kematian, kematian bagi si anak hanya berlaku bila usia sudah tua atau bila dah lama meniti usia contoh macam aku bila dah tua aku akan mati. Bila aku dah tua bermakna mereka sudah dewasa begitulah sebaliknya. Namun itukah hakikatnya. Kematian hanya di usia tua?. Definisi kematian itu hanya apa yang si kecil fikirkan dengan akal dan pengalaman yang masih baru. Akal yang baru memulakan proses belajar. Belajar dari pengetahuan dan pengalaman yang mereka ada apabila sering melihat atukdan nenek mereka pergi satu demi satu. Tapi tahukah anakku bahawa kematian adalah lebih dari itu sayang...Kematian tidak seperti yang kita ketahui kerana ia rahsia Allah. Kematian adalah pengakhir kehidupan di dunia dan permulaan untuk ke alam akhirat.Lebih dari itu kematian tidak kira usia bahkan anak kecil yang baru lahir juga boleh mati bila ketetapan Allah ada di situ.

Wahai anak jika akal mu sudah mula memahami, belajarlah apa itu kematian. Kematian menurut al-quran adalah keluarnya roh dari jasad manakala hidup adalah pertemuan roh dengan jasad. Allah menyebutkan tentang mati dan hidup sebanyak 145 kali di dalam al-quran. Bacalah al-quran kerana di situ banyaknya ilmu Allah tersimpan beserta dengan peringatan-peringatanNya.

Sakitnya mati itu dikatakan seperti sakitnya kambing yang disiat hidup-hidup. Mati juga diibaratkan seperti berlakunya kiamat kecil pada diri seseorang. Sakitnya mati juga dirasakan seperti ditetak dengan 300 bilah pedang. Ya Allah...ummi takut bila memikirkan sakitnya untuk menghadapi saat itu. Itulah kematian dan kesakitannya yang sangat pasti. Berdoalah sentiasa mohon supaya kita ditetapkan dengan hidayah Allah, mati dalam keadaan khusnul khotimah dan mati syahid.

Wahai anak bila kamu sudah pandai mengaji, bacalah pula terjemahan al-quran kerana di situ dalam Surah Al A'raaf 172 Allah berfirman:

     Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”, (Al A’raaf 172)

Wahai anakku sayang, tahulah kamu bahawa peringkat awal kejadian manusia adalah di alam roh. Di sini roh belum memiliki jasad maka inilah kematian pertama. Dalam masa 40 hari selepas berlaku percampuran air mani lelaki dan perempuan yang kita panggil peringkat ini sebagai peringkat nutfah, terbentuk pula peringkat alaqah iaitu dari air mani tadi ia berubah menjadi segumpal darah dan seterusnya peringat mudghah iaitu dari segumpal darah menjadi seketul daging dan seterusnya sehingga 120 hari maka Allah akan memanggil malaikat untuk meniupkan roh dan menuliskan 4 kalimat iaitu rezeki, ajal maut, amalan yang bagaimana dan kecelakaan serta kebahagiannya. Seterusnya bermulalah sebuah kehidupan kita yang pertama yang dinamakan di alam dunia.

Apabila telah sampai masa yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu ketika ditiupkan roh semasa kejadian yang awal, maka tibalah pula masa Allah memerintahkan untuk memisahkan semula roh daripada jasad. Roh akan disimpan di alam barzakh dan jasad akan hancur dikuburkan di dalam tanah.Inilah saat kematian kali kedua. Apabila tiba hari kebangkitan semula iaitu hari kiamat, Allah akan menciptakan jasad yang baru, kemudian Allah meniupkan roh yang ada di alam barzakh, masuk dan bersatu dengan tubuh yang baru sebagaimana disebutkan dalam surat Yasin ayat 51:


51- Dan ditiuplah sangkakala, maka tiba-tiba mereka ke luar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka. 52- Mereka berkata: “Aduh celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?” Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul (Nya). (Yasin 51-52)

Inilah kehidupan kedua yang abadi, baqa' dan utama iaitu alam akhirat. Segala persoalan semasa di alam dunia akan disoal jawabkan di sini. Disinilah kita akan dibalas segala kebaikan atau kejahatan yang kita buat samada pada Allah, ibu bapa, guru, kawan-kawan dan seluruh alam. Sebab itu Luqman mesti jadi anak yang soleh, hambaAllah yang bertakwa, anak murid yang baik dan khalifah yang memberi manfaat pada seluruh alam.