Friday, October 29, 2010

Jangan lupa doakan anak-anak....

Hari ni suasana pagi dicerahi dengan mentari pagi yang terang. Dalam perjalanan saya ke tempat kerja, Alhamdulillah tak banyak trafik di jalanan. Melihatkan ketenangan itu, fikiran saya juga dibuai ke peristiwa semalam yang menyentap jiwa dan perasaan. Kisah semalam bagai menghiris hati dan perasaan saya hingga berderai manik-manik jernih ke pipi. Hati saya mengadu pada Tuhan, mohon dipandu diri ini agar sentiasa mengambil iktibar dengan kejadian yang menimpa saudara-mara sekeliling saya. Alhamdulillah sepanjang usia saya meningkat kedewasaan hidup, saya telah pun diajar oleh si pengalaman untuk mengenal erti kesabaran iaitu semasa menghadapi kepulangan bonda tersayang ke rahmatullah. Sejak detik itu ruang hidup saya diuji dengan pelbagai masalah samada kebahagian, kewangan dan kerjaya. Tanpa iman dan redha dengan dugaan itu pasti saya kecundang. Saat itu juga Tuhan yang Maha Rahim menghantar kasihnya melalui hikmah kejadian itu dengan bekalan ketabahan hati membuatkan saya terus ingin mencari hidayahnya. Hati saya sayu tapi tersentak dari kealpaan yang selama ini tiada peduli pada Yang Esa. Maha Agung Tuhanku tiada yang lebih baik pengaduan adalah kepadamu. Disaat saya mengalpakan hati darinya, Dia tetap hadir. Saya sangat bersyukur dengan limpah hidayah yang menerangi kehidupan saat ini.

Mengintai kisah yang dialami saudara sekeliling saya, hati saya menangis dan tertanya-tanya. Dimanakah silapnya, apakah salahnya dan mengapa ia berlaku?. Ternyata disini keimanan seseorang tidak diwaris dari keluarganya lebih-lebih lagi ibu dan bapa. Jadi saya yang masih mempunyai anak-anak yang masih meniti usia, takut dengan kejadian sosial yang menimpa saudara terdekat saya. Walaupun ibu bapa taat pada perintah Allah, tunai semua rukun Islam namun ianya belum cukup untuk menjamin kerohanian anak-anak yang dibela. Memanglah benar apa yang disarankan oleh Islam agar ibu bapa jangan pentingkan diri sendri. Jangan kedekut berdoa untuk anak-anak. Berdoalah untuk anak kita terutama selepas solat fardhu agar anak menjadi qurratu ayyun suatu hari nanti.Dulu saya juga sering abaikan doa untuk anak-anak. Tapi sejak saya terjumpa sebuah buku yang bertajuk selawat 99 di tempat kerja rakan saya, saya terpaut dan mencarinya di kedai buku agama. Namun saya tidak temui buku yg serupa, sebaliknya yg ada adalah buku "selawat 76". Saya membelinya sebuah dengan harga yang sangat murah iaitu rm4.90. Dalam buku ni ada diajarkan banyak jenis selawat dan doa nabi-nabi kita. Salah satu doa yang saya nak sentuh ialah doa Nabi Ibrahim a.s. Doa ini sebenarnya adalah dari ayat Al-quran iaitu dari surah Ibrahim ayat 40. Dalam surah ini Nabi Ibrahim sentiasa berdoa kepada Allah dengan doa seperti berikut yang bermaksud:

Maksudnya: "Ya Tuhanku, jadikanlah aku dan anak cucuku orang yang tetap mendirikan solat,ya Tuhan kami, perkenankanlah doaku. Ya Tuhan kami, berikanlah keampunan kepada aku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)". -(Ibrahim: 40-41).

Saya yakin semua ibu bapa inginkan anak yang taat. Namun jika kita tidak minta melalui Allah, bagaimana keinginan itu akan dimakbulkannya. Melalui doalah akan diilhamkan buah fikiran dan tindakan untuk kita mendidik anak-anak kita mengikut corak yang Islamik. Saya sangat berharap saya berjaya mendidik anak-anak saya ke jalan yang mengikut syariat Allah. Saya berharap akan sentiasa beristiqamah untuk mendoakan mereka.

No comments: