Thursday, November 18, 2010

Terima kasih Ya Allah

Nada dering telefonku berbunyi. Ketika itu saya masih di pejabat meneruskan saki baki kerja yang masih belum selesai. Panggilan itu adalah panggilan dari anak sulung saya Hakimi.
"Umi, abang dapat dua hadiah.Satu abang dapat tempat ketiga dan satu lagi abang dapat feqah 100%". Kedengaran suara yang perlahan tapi bersemangat mengadu tentang kejayaannya.
"Alhamdulillah, syukur takpe nanti abang usaha lagi cemerlang. Tahniah abang. Ikut umi cakap macam ni ye. Ya Allah aku bersyukur dan terima kasih di atas kejayaan ini, amin...". Balas saya dan kami sama-sama mengaminkan doa. Walaupun jauh dan tidak bersemuka, saya ingin kejayaan ini diraikan dengan memanjat kesyukuran pada Ilahi.

Dari pandangan umum, kejayaan ini sangat kecil implikasinya, cuma peperiksaan tahun 1 saja. Namun pengertian usaha dan syukur perlu diselitkan dalam diri anak-anak. Biar anak tahu usaha yang dilakukan dibalas dengan kemenangan dan kejayaan. Begitu juga syukur kerana setiap keputusan yang dikurniakan adalah ketetapan dari Tuhan bukan mujur atau nasib baik seperti yang diterangkan oleh Prof Muhd Kamil dalam bukunya. Ramai di antara kita yang percaya pada kemujuran termasuk diri saya. Namun hakikat ianya dari kekuasaan Allah jarang diambil kira. Lebih teruk lagi jika lansung tidak menitipkan terima kasih atas pemberiannya. Sikit saja ilmu yang saya cuba masukkan dalam diri anak-anak. Saya berdoa semoga Allah memberi hidayah pada anak-anak saya. Insyallah.

Jauh di sudut hati.
" Ya Allah, Engkau telah mengurniakan 4 orang anak untukku. Aku takut bila tiba masanya nanti Engkau akan bertanya tentang kurnianmu ini. Ya Allah aku daif dan jahil dalam membimbing mereka. Aku mohon petunjuk darimu untuk mendidik mereka dengan kelembutan dan kasih sayang. Aku berlindung denganmu dari hasutan syaitan yang sering mengajak kepada kekasaran dan kemarahan. Amin".

No comments: