Friday, March 8, 2013

Hakikat Kematian bagi Si anak kecil



Suatu senja, aku menyediakan makan malam untuk anakku Luqman. Anak-anak yang lain tiada di rumah. Itu menjadi rutin aku kini setiap Isnin, Selasa dan Rabu. Hanya aku, Luqman dan dua lagi si kecil yang mengisi ruang rumah di waktu seperti ini. Sementara itu Arif dan Mai menghadiri kelas agama yang diajar oleh Ustaz Taufik di Semabok.

Tiba-tiba Luqman memulakan perbualan di antara kami.
    Katanya " Ummi nanti Anchik dah besar, Anchik nak jadi angkasawan, boleh tak?".
Aku tersenyum sambil membasuh pinggan mangkuk dan lantas membalas soalannya dengan balasan manja
    " Laa...nanti sapa nak jaga Ummi dan macam mana kalau Ummi rindukan Anchik?".
Suasana terdiam seketika. mungkin dia mencari idea apa yang nak dijawab pada Ummi ni. Kemudian terdengar dia bersuara kembali.
    "Ummi bukan ke bila Anchik dah besar, Ummi dah meninggal?".
    " Ah..apa tak dengar?" aku membalas.
    "Bukanke Ummi dan Babah dah meninggal bila Anchik dah besar nanti?". Luqman bersuara dengan lebih perlahan, tapi kuat dan jelas sebab aku tak dengar jawapan dia yang awal tadi.
    " Oh macam tu ye...". Aku terdiam seketika dan berfikir.

Kematian, kematian bagi si anak hanya berlaku bila usia sudah tua atau bila dah lama meniti usia contoh macam aku bila dah tua aku akan mati. Bila aku dah tua bermakna mereka sudah dewasa begitulah sebaliknya. Namun itukah hakikatnya. Kematian hanya di usia tua?. Definisi kematian itu hanya apa yang si kecil fikirkan dengan akal dan pengalaman yang masih baru. Akal yang baru memulakan proses belajar. Belajar dari pengetahuan dan pengalaman yang mereka ada apabila sering melihat atukdan nenek mereka pergi satu demi satu. Tapi tahukah anakku bahawa kematian adalah lebih dari itu sayang...Kematian tidak seperti yang kita ketahui kerana ia rahsia Allah. Kematian adalah pengakhir kehidupan di dunia dan permulaan untuk ke alam akhirat.Lebih dari itu kematian tidak kira usia bahkan anak kecil yang baru lahir juga boleh mati bila ketetapan Allah ada di situ.

Wahai anak jika akal mu sudah mula memahami, belajarlah apa itu kematian. Kematian menurut al-quran adalah keluarnya roh dari jasad manakala hidup adalah pertemuan roh dengan jasad. Allah menyebutkan tentang mati dan hidup sebanyak 145 kali di dalam al-quran. Bacalah al-quran kerana di situ banyaknya ilmu Allah tersimpan beserta dengan peringatan-peringatanNya.

Sakitnya mati itu dikatakan seperti sakitnya kambing yang disiat hidup-hidup. Mati juga diibaratkan seperti berlakunya kiamat kecil pada diri seseorang. Sakitnya mati juga dirasakan seperti ditetak dengan 300 bilah pedang. Ya Allah...ummi takut bila memikirkan sakitnya untuk menghadapi saat itu. Itulah kematian dan kesakitannya yang sangat pasti. Berdoalah sentiasa mohon supaya kita ditetapkan dengan hidayah Allah, mati dalam keadaan khusnul khotimah dan mati syahid.

Wahai anak bila kamu sudah pandai mengaji, bacalah pula terjemahan al-quran kerana di situ dalam Surah Al A'raaf 172 Allah berfirman:

     Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman): “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab: “Betul (Engkau Tuhan kami), kami menjadi saksi”. (Kami lakukan yang demikian itu) agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan: “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang yang lengah terhadap ini (keesaan Tuhan)”, (Al A’raaf 172)

Wahai anakku sayang, tahulah kamu bahawa peringkat awal kejadian manusia adalah di alam roh. Di sini roh belum memiliki jasad maka inilah kematian pertama. Dalam masa 40 hari selepas berlaku percampuran air mani lelaki dan perempuan yang kita panggil peringkat ini sebagai peringkat nutfah, terbentuk pula peringkat alaqah iaitu dari air mani tadi ia berubah menjadi segumpal darah dan seterusnya peringat mudghah iaitu dari segumpal darah menjadi seketul daging dan seterusnya sehingga 120 hari maka Allah akan memanggil malaikat untuk meniupkan roh dan menuliskan 4 kalimat iaitu rezeki, ajal maut, amalan yang bagaimana dan kecelakaan serta kebahagiannya. Seterusnya bermulalah sebuah kehidupan kita yang pertama yang dinamakan di alam dunia.

Apabila telah sampai masa yang telah ditetapkan sebelum ini iaitu ketika ditiupkan roh semasa kejadian yang awal, maka tibalah pula masa Allah memerintahkan untuk memisahkan semula roh daripada jasad. Roh akan disimpan di alam barzakh dan jasad akan hancur dikuburkan di dalam tanah.Inilah saat kematian kali kedua. Apabila tiba hari kebangkitan semula iaitu hari kiamat, Allah akan menciptakan jasad yang baru, kemudian Allah meniupkan roh yang ada di alam barzakh, masuk dan bersatu dengan tubuh yang baru sebagaimana disebutkan dalam surat Yasin ayat 51:


51- Dan ditiuplah sangkakala, maka tiba-tiba mereka ke luar dengan segera dari kuburnya (menuju) kepada Tuhan mereka. 52- Mereka berkata: “Aduh celakalah kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami (kubur)?” Inilah yang dijanjikan (Tuhan) Yang Maha Pemurah dan benarlah Rasul-rasul (Nya). (Yasin 51-52)

Inilah kehidupan kedua yang abadi, baqa' dan utama iaitu alam akhirat. Segala persoalan semasa di alam dunia akan disoal jawabkan di sini. Disinilah kita akan dibalas segala kebaikan atau kejahatan yang kita buat samada pada Allah, ibu bapa, guru, kawan-kawan dan seluruh alam. Sebab itu Luqman mesti jadi anak yang soleh, hambaAllah yang bertakwa, anak murid yang baik dan khalifah yang memberi manfaat pada seluruh alam.




No comments: