Friday, December 10, 2010

Azam ke Umrah dan duit dari langit....

Catatan dibuat pada 9/12/2010

Ditetapkan hari ini, suami dan anak-anak (3 orang iaitu Hakimi, Mai dan Luqman) akan sampai ke rumah dari kampung suami di Machap Durian Tunggal. Mereka bermalam di sana sebab suami saya dah berjanji dengan Babanya untuk tolong tebang pokok rambutan.

Semalam saya call dia, untuk maklumkan tentang duit dari langit tu. Pagi tadi saya call lagi untuk maklumkan tentang hajat saya ke umrah Julai 2011. Saya dah bincang dengan maklang saya untuk pergi Julai dan bukan waktu cuti sekolah.

Petang tadi antara 5.30-6.30petang, hati saya berdebar-debar menunggu mereka sampai. Saya sempat masakkan sambal goreng ikan bilis campur telur rebus serta ayam goreng masak kicap. Hati saya berkali-kali berdoa moga Allah lembutkan hati suami untuk benarkan saya mengerjakan umrah. Bukan itu saja, saya juga berkali-kali berdoa moga emak mertua saya juga membenarkan kami berdua ke Mekah. Saya sangat faham sifat beliau. selalunya bila melibatkan hal penjagaan anak-anak, mak mertua saya susah nak izinkan, maklumlah anak-anak saya masih kecil. Saya tahu tentang itu, namun hati ni dah tak keruan untuk pergi sana....

Suami saya dah sampai. Nampak ceria dan riak mukanya penuh persoalan. Mungkin tentang kesahihan duit dari langit tu dan umrah. Tiba-tiba terdengar suaranya dari ruang dapur sambil-sambil sibuk mengurus atur semula barang yang baru dibawa balik dari kampung.

" Baba dan emak tak setuju kita pergi, sebab anak-anak kecil lagi. Tunggulah dah besar sikit nanti katanya."

Aduh...pedihnya hatiku. Terkedu sebentar mendengar kenyataan itu. Saya cuba tidak membantah dan menerpis dengan soalan-soalan yang boleh menegangkan kami. Saya tabahkan hati dan berharap pada Tuhan. Saya tahu saya perlu berdoa tanpa henti. Saya yakin Tuhan akan kabulkan.

Hati masih terus berkata-kata dan bermonolg sendirian. Suami selamba meneruskan kerja-kerja dia. Tiba-tiba.

" Mana pamflet Andalusia, abang nak tengok?". Suara itu membuatkan saya terdiam membisu. Saya tak balas sebaliknya hati saya termerajuk.
" Mi, baba buat muka macam ni kat Umi." Maisarah mencebikkan mukanya ke arah saya meniru perlakuan suami. Lama....saya terdiam dan tiba-tiba bersinar semula.

" Alhamdulillah Ya Allah kau dengar doaku. Ampunkan aku " saya bermonolog dalam hati.

Kesudahannya kami duduk dan berbincang bersama. Kami berdua setuju dengan tarikh tersebut. Hal anak-anak pula, kami sepakat untuk mengajak mak mertua, baba dan adik Ipar (Idah) tinggal sementara di rumah kami sepanjang kami di Mekah nanti. Begitula...senang saja penyelesaian kalau kita bermuafakat.

" Ada ke duit nak pergi ni?" terpantul soalan dari suami.
" Ada bang jangan risau. Duit dari langit tu la. Insyallah." saya tersenyum lebar.

p/s: ketika kita suka, ada orang berduka. Semoga orang-orang ini tabah dan Allah mempermudahkan mereka menghadapi saat itu.
Buat sahabat Dr Alhana dan suami- tabahkan hati dan semoga pembedahan berjalan lancar dan selamat.
Buat sahabat Dr Nurul Ain, semoga tabah hati dengan pemergian bonda tercinta.
Buat sahabat Dr Noraini, semoga tabah hati menjaga bonda yang sedang sakit.
Buat semua, Allah lebih mengetahui setiap perancangannya.

Wasalam.

No comments: