Friday, March 17, 2017

Jangkitan Influenza A

Influenza atau dikenali sebagai flu merupakan penyakit jangkitan hidung, tekak dan paru-paru yang disebabkan oleh virus Influenza. Seringkali kita terkeliru antara jangkitan flu dengan demam selsema biasa. Jangkitan Influenza menyebabkan tubuh badan mengalami simptom ringan, sederhana dan teruk sehingga komplikasi yang boleh mengakibatkan kematian.

Berbanding dengan negara yang beriklim sejuk, jangkitan ini berlaku mengikut musim sejuk, manakala di Malaysia dan negara beriklim tropika, jangkitan ini berlaku tidak bermusim. Musim puncak jangkitan Influenza berlaku dari Oktober hingga Januari dan April hingga Jun.

Terdapat 3 jenis virus Influenza yang telah dikenal pasti iaitu Influenza A, B dan C. Influenza A menjangkiti haiwan dan manusia. Jangkitannya boleh merebak dan menyebabkan epidemik dan pandemik. Influenza B pula menjangkiti manusia, kurang berlaku, kurang bahaya dan tidak pandemik. Influenza C boleh menjangkiti manusia, ringan, jarang berlaku dan bukan epidemik.

Kajian sains mendapati Influenza A mudah mengalami mutasi (perubahan genetik). Oleh itu jangkitan Influenza A yang didapati pada haiwan dan manusia boleh berubah genetiknya untuk menjadi lebih bahaya dan pandemik. Situasi pandemik Influenza A pernah berlaku pada abad ke-20 iaitu pada tahun 1918, 1957, 1968 dan terkini pada 2009. Jangkitan pandemik Influenza A/H1N1 telah berlaku pada 1918 dan 2009 dimana ia lebih dikenali oleh masyarakat umum sebagai jangkitan Spanish Flu(1918) dan Swine Flu(2009). Pandemik Influenza A/H1N1 atau Swine Flu(2009) telah  menjadi wabak di  Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada. Pada 11 Jun 2009, WHO telah mengisytiharkan jangkitan Influenza A/H1N1 sebagai pandemik Fasa 6 apabila terdapat penularan wabak ini antara manusia dengan manusia secara signifikan dan melibatkan lebih dari dua benua. Didapati Influenza A/H1N1 ini mempunyai strain berbeza dengan jangkitan Influenza A/H1N1 yang mula dikenalpasti menjangkiti babi pada tahun 1918 dan menjadi pandemik. Oleh itu jangkitan terbaru itu dikatakan berkemungkinan berlaku pencampuran genetik antara kuman daripada burung, babi dan manusia. Malaysia melaporkan kes pertama Influenza A/H1N1 pada 15 Mei 2009.

Manakala jangkitan Influenza A bermusim boleh menjangkiti manusia pada bila-bila masa tanpa kita disedari. Jangkitan ini berlaku disebabkan oleh virus Influenza A/H3N2 dan Influenza B. Keadaan ini memberikan tindakbalas imuniti semulajadi terhadap jangkitan tersebut. Oleh itu jangkitan tersebut menyebabkan simptom yang lebih ringan berbanding simptom akibat jangkitan Influenza yang berlaku semasa pandemik. Namun begitu, pada 10 Ogos 2010, WHO telah mengumumkan Influenza A/H1N1 post-pandemic period. Keadaan ini merujuk kepada situasi dimana, semua negara telah dijangkiti oleh Inflluenza A/H1N1, ramai yang telah mempunyai imuniti terhadap jangkitan tersebut, tiada jangkitan wabak yang berlaku di kutub utara dan kutub selatan dan kes jangkitan influenza bermusim yang banyak dilaporkana adalah jangkitan dari virus Influenza A/H3N2 dan Influenza B. Namun begitu genetik virus Influenza A pandemik ini masih berkitaran di atmosfera dan boleh menyerang manusia bila-bila masa.

Simptom jangkitan Influenza hampir sama dengan demam selsema seperti demam, batuk dan selsema. Namun begitu Influenza A menyebabkan demam yang tinggi, batuk berkahak dan boleh menyebabkan komplikasi kepada paru-paru seperti keradangan. Jangkitan ini lebih serius berlaku kepada kumpulan berisiko seperti orang tua berumur 60 tahun ke atas, berpenyakit kencing manis, jantung, penyakit paru-paru seperti asma serta kanak-kanak berusia di bawah lima tahun. Walau bagaimana pun, jangkitan ini hanya boleh dikenalpasti jenis virusnya melalui ujian pengesahan seperti kaedah PCR, kultur virus atau ujian serologi. Ketiga-tiga ujian ini memerlukan kos yang sangat tinggi. Maka itu ia hanya di lakukan bagi kes-kes kluster wabak selsema, pesakit yang menghidap gejala yang teruk serta pengesanan virus yang rintang antivirus.

Kebanyakan masyarakat umum tidak mengambil berat apabila mereka mengalami simptom selsema atau batuk. Tindakan ini boleh meningkatkan penyebaran virus ke dalam persekitaran. Jangkitan virus Influenza merebak melalui titisan cecair yang tersebar dari batuk dan bersin. Malah virus ini juga boleh tersebar bermula sehari sebelum simptom merebak hingga  hari ke-7 selepas dijangkiti. Sebagai salah satu langkah pencegahan yang disarankan adalah amalan membasuh tangan, etika semasa batuk, penggunaan penutup mulut dan pengambilan vaksin.








No comments: